980 BUNGKUSAN STOK KETUM DIRAMPAS
980 BUNGKUSAN STOK KETUM DIRAMPAS
GEORGETOWN: Polis menahan seorang pemandu lori dan merampas stok air serta daun ketum segar dianggar bernilai RM12,315 dipercayai untuk diedar sekitar daerah Timur Laut.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan selepas 980 bungkusan mengandungi 490 liter air ketum ditemui dalam lori dipandunya di Jalan Sungai Pinang, di sini, jam 2.30 pagi semalam.
Memetik kepada laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata ketika ditahan, lelaki itu dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar bekalan air ketum di sekitar daerah berkenaan yang dijual pada harga RM5 sebungkus.
“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas yang dipercayai lokasi air ketum dimasak.
“Pemeriksaan di rumah persendirian itu menemukan 144 bungkusan plastik berwarna hitam yang berisi daun ketum dianggarkan seberat 741.5 kilogram dengan pelbagai peralatan untuk memasak daun terbabit,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan polis kini mengesan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang juga pemilik rumah berkenaan untuk membantu siasatan.
Wanita terbabit, katanya dipercayai menjadi ‘chef’ yang memainkan peranan memasak air ketum di premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggan.
“Sehingga kini, pemandu lori terbabit yang mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah akta sama,” katanya.