94 Pengerusi JKKR terima Bantuan Prihatin Pahang
94 Pengerusi JKKR terima Bantuan Prihatin Pahang
KUANTAN – Seramai 94 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) FELDA menerima Bantuan Prihatin Pahang hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Razak.
Penyampaian dilakukan bersempena penganjuran Moh Karnival Makmur Pahang di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan, di sini.
Turut hadir Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Sementara itu, Amizar melalui hantaran di laman sosial Facebook miliknya berkata, penganjuran karnival bertemakan pendidikan itu dapat memberi maklumat lebih jelas kepada rakyat berkaitan pelbagai inisiatif disediakan kerajaan Pahang untuk mereka.
“Bermacam bentuk bantuan dan peluang pembelajaran disediakan untuk rakyat Pahang dan semuanya dipamerkan pada karnival ini.
“Selain itu, agensi berkaitan yang boleh membantu dari aspek pembangunan ilmu dan teknikal kepada masyarakat umum juga menyediakan khidmat nasihat mereka di ruang pameran disediakan,” katanya.
Karnival yang bermula semalam itu dijadualkan berakhir esok.
Selain Pengerusi JKKR, turun menerima Bantuan Prihatin Pahang adalah 52 Tok Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Orang Asli. – SAHIH