SURAT PALSU PEMBALAKAN, PERLOMBONGAN
SURAT PALSU PEMBALAKAN DAN PERLOMBONGAN
KUANTAN: Polis menahan seorang penoreh getah dipercayai memalsukan surat menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk urusan pembalakan dan perlombongan.
Suspek berusia 51 tahun ditahan di pekarangan Balai Polis Gurun, Kedah kira-kira jam 1.25 tengah hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata tangkapan ke atas suspek dibuat berdasarkan satu laporan polis berkaitan salah laku menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong.
“Suspek dipercayai menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dalam kerja-kerja mengeluarkan kayu balak, kayu jaras dan perlombongan secara haram di kawasan hutan rezab Hulu Jerai di Sungai Timah Mukim Batu Yon di Daerah Lipis.
“Semakan terhadap surat itu mendapati tiada sebarang permohonan yang dibuat oleh syarikat berkenaan, malah Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang juga tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan bagi kerja-kerja yang dimaksudkan,” dalam kenyataannya yang dipetik BH Online.
Beliau berkata, modus operandi suspek adalah dengan membuat pemalsuan surat menggunakan nama Majlis Raja-Raja Melayu dalam urusan mendapatkan kebenaran mengeluarkan kayu balak, kayu jaras dan perlombongan.
“Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dan menggunakan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Raub yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.