84 Pelajar Baharu UPSI Terima Skim Bantuan Khas Semester Satu daripada WEZAS
Foto : Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff bersama-sama pelajar UPSI yang menerima bantuan WEZAS.
84 Pelajar Baharu UPSI Terima Skim Bantuan Khas Semester Satu daripada WEZAS
TANJONG MALIM – Seramai 84 pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima manfaat melalui Skim Bantuan Khas Semester Satu yang dilaksanakan oleh Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) bagi membantu mereka mendaftar pengajian bagi semester satu sesi 2025.
Menurut Pengarah WEZAS, Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha murni UPSI dalam menyahut seruan kerajaan melalui pendekatan Malaysia Madani untuk menoktahkan kemiskinan dalam kalangan masyarakat melalui pendidikan.
“UPSI beriltizam memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan diberi peluang melanjutkan pengajian agar masa depan mereka tidak terhenti kerana kekangan kewangan,” katanya.
Beliau berkata, semua penerima dipilih berdasarkan latar belakang keluarga berpendapatan bawah RM1,000 sebulan dan tersenarai dalam sistem e-Kasih, selepas disaring dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA).
Daripada jumlah itu, 22 pelajar menerima bantuan pendaftaran penuh berjumlah RM51,598.35, 27 pelajar menerima bantuan yuran minimum sebanyak RM40,500.00, manakala 35 pelajar mendapat bantuan awal tunai RM500 seorang dengan jumlah RM17,500.00, menjadikan keseluruhan peruntukan bantuan sebanyak RM109,598.35.
Dr. Mohd Abdul Nasir berkata, pihak WEZAS bersama JHEPA turut menziarahi calon yang disenaraikan pendek untuk menilai keadaan sebenar keluarga mereka sebelum pendaftaran.
“Kami juga membantu beberapa pelajar yang tular di media sosial kerana kesempitan hidup seperti Nik Mohamad Alis, Siti Saajidah Ramli, Siti Nur Aireen Najiha Mohamad dan Nur Aqilah Atierah Zairi, yang telah menerima tawaran pengajian di UPSI,” katanya.
Untuk rekod, skim bantuan ini mula diperkenalkan pada tahun 2023 sebagai platform bagi membantu pelajar baharu yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata program itu membuktikan UPSI sentiasa prihatin terhadap pembangunan insan dan keperluan masyarakat melalui pendidikan.
“UPSI mengambil maklum setiap kes yang dilaporkan di media sosial dan bertindak segera bagi memastikan pelajar terbabit tidak terpinggir,” katanya.-SAHIH