80 peserta Konvoi Merdeka Taman Inderapura ke Gunung Senyum Meriah
Foto : Peserta bergambar beramai-ramai sebelum bergerak ke Gunung Senyum.
80 peserta Konvoi Merdeka Taman Inderapura ke Gunung Senyum Meriah
JERANTUT – Seramai 80 peserta penduduk Taman Inderapura berkonvoi bermotosikal ke Gunung Senyum yang terletak kira-kira 40 kilometer dari taman perumahan tersebut, kelmarin.
Peserta berusia antara 40 hingga 68 tahun menyertai Konvoi Merdeka anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Inderapura bergerak dari Dewan Taman Inderapura pada jam 8.30 pagi.

Peserta konvoi berada di dalam Gua Gunung senyum
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sri Inderapura, Rahman Yusoff berkata, rombongan yang disertai 50 buah motosikal itu bergerak lancar dengan kawalan peronda polis dan tiba di Gunung Senyum kira-kira jam 10.00 pagi.
Katanya, program itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan, malah memberi peluang peserta meneroka keunikan gua di Gunung Senyum.
“Selain berkonvoi, peserta dapat menyaksikan sendiri artifak lama di dalam gua termasuk lokasi bersejarah yang menempatkan kubur Tok Long.
”Program tersebut turut mengeratkan silaturahim komuniti setempat serta menzahirkan semangat cintakan negara melalui aktiviti riadah dan kebudayaan,” katanya.
Peserta konvoi, Jamal Abdul Nasir (69) berkata, seronok juga sekali sekala terutama pergi bersama isteri dan dapat melihat apa yang ada di dalam gua Gunung senyum.

Untuk sampai ke dalam gua, peserta perlu berjalan kaki dan mendaki
”Generasi muda sewajarnya mengambil cakna anugerah Allah yang terdapat di sekitar kita. Berdasarkan kajian arkeologi, hutan lipur di sekitar Gunung Senyum dikatakan menyimpan sejarah kehidupan manusia Zaman Mesolitik.
”Terdapat banyak flora atau tumbuhan herba di Gunung Senyum yang mempunyai nilai perubatan. Bagaimanapun, masih ramai belum mengetahui kisah sebenar di sebalik kewujudan Gunung Senyum yang mempunyai lebih 18 gua batu kapur dengan pelbagai nama unik dan klasik,” katanya.-SAHIH.
