8 Sukarelawan Malaysia Ditahan Tentera Israel
8 Sukarelawan Malaysia Ditahan Tentera Israel
KUALA LUMPUR – Seramai lapan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza disahkan ditahan tentera Israel ketika konvoi berkenaan dihalang di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Perkembangan itu dimaklumkan pada jam 5.30 pagi waktu Malaysia selepas kapal konvoi yang membawa lebih 500 aktivis dari lebih 40 buah negara dipintas kira-kira 70 batu nautika (130 kilometer) dari pantai Gaza.
Menurut laporan antarabangsa, pasukan tentera laut Israel bertindak menaiki beberapa kapal termasuk yang membawa wakil Malaysia sebelum semua aktivis dipaksa mengubah haluan ke pelabuhan Ashdod.
Misi GSF yang turut disertai tokoh antarabangsa seperti aktivis alam sekitar Greta Thunberg pada mulanya berlepas dari Turki, dengan tujuan membawa bekalan perubatan serta makanan kepada rakyat Palestin di Gaza yang masih berada di bawah kepungan rejim Israel.
Jurucakap Sumud Nusantara, cabang ASEAN dalam flotilla itu, berkata keadaan sukarelawan Malaysia masih dipantau dan pihak kerajaan diminta segera campur tangan bagi memastikan keselamatan mereka.
Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra dilaporkan sedang meneliti tindakan diplomatik, termasuk berhubung dengan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak pembebasan segera semua tahanan.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan Malaysia konsisten menentang sekatan Israel ke atas Gaza serta akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Insiden ini mencetuskan kecaman meluas komuniti antarabangsa yang menyifatkan tindakan Israel sebagai pencabulan undang-undang maritim dan hak asasi kemanusiaan.-SAHIH