8 PREMIS CURI ELEKTRIK UNTUK MELOMBONG BITCOIN
8 PREMIS CURI ELEKTRIK UNTUK MELOMBONG BITCOIN
SERDANG: Lapan premis kedai di Pusat Perniagaan The Atmosphere, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan yang dikesan melombong wang kripto atau Bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik, diserbu polis petang tadi.
Serbuan kira-kira jam 4 petang itu, turut disertai 12 anggota Special Engagement Against Loses (SEAL) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor susulan intipan selama tiga hari yang dijalankan menerusi Ops Api.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan premis turut diubah suai supaya ia kelihatan seperti premis kosong, lapor BH Online.
GAMBAR IHSAN TNB
Katanya, beberapa lapisan papan lapis didapati digunakan untuk menghalang bunyi kuat keluar daripada premis-premis terbabit.
“Selepas melakukan intipan selama tiga hari, pasukan serbuan percaya bahawa ada kegiatan kecurian tenaga elektrik di kawasan premis kedai ini.
“Pihak TNB juga membuat pemeriksaan di premis yang disyaki dan mengesahkan terdapat sambungan wayar elektrik yang tidak sah pada premis terbabit.
“Seterusnya pasukan serbuan memecahkan pintu premis untuk masuk ke dalam dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat ratusan mesin Bitcoin yang masih beroperasi di dalamnya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
TNB menganggarkan kerugian kira-kira RM38,000 akibat kegiatan mencuri elektrik yang berlaku setiap bulan untuk setiap premis melombong Bitcoin.
“Untuk mendapatkan satu point Bitcoin, premis ini perlu beroperasi 24 jam selama enam bulan mengikut kuantiti mesin Bitcoin dan kelajuan internet.
GAMBAR HIASAN
“Nilai bitcoin terkini adalah RM150,000 untuk satu point,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Katanya, menerusi serbuan itu juga, sebanyak 613 mesin melombong Bitcoin yang terdapat di lapan premis terbabit, dirampas.
Bagaimanapun, katanya tiada sebarang tangkapan dilakukan menerusi serbuan itu namun siasatan sedang dijalankan bagi mengesan dalang di sebalik kegiatan itu.
“Kesemua rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 427/379 Kanun keseksaan dan 37 Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum hingga RM1 juta atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.