8 PEMANDU MABUK DITAHAN
Berita Jenayah
8 PEMANDU MABUK DITAHAN
PETALING JAYA: Lapan pemandu mabuk ditahan menerusi Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah yang dijalankan di beberapa lokasi di daerah ini selama dua hari bermula Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata seramai 828 pengguna jalan raya dan 712 kenderaan diperiksa menerusi operasi itu yang bermula pada jam 10 malam setiap hari dan berakhir pada jam 3 pagi tadi.
“Menerusi operasi dua hari berturut-turut itu, polis menahan lapan individu berusia antara 23 hingga 57 tahun yang dikesan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan.
“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata beliau lagi, pihaknya kesal kerana masih ada lagi pengguna jalan raya memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol kerana boleh membahayakan keselamatan serta menyebabkan kematian kepada orang lain.
Dalam pada itu, pihaknya turut memandang serius terhadap kesalahan pengguna jalan raya yang memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen.
“Menerusi operasi selama dua hari itu, sebanyak 54 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan 22 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu.
“Pesalah dikehendaki hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan untuk dibicarakan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya,” kata Nik Ezanee.
Sumber: BH Online