8 MAUT, 12 HILANG MANGSA PENYELUDUPAN MANUSIA
Berita Global
8 MAUT, 12 HILANG MANGSA PENYELUDUPAN MANUSIA
NAIROBI: Lapan pendatang maut dan 12 lagi hilang selepas penyeludup memaksa mereka turun dari sebuah bot berhampiran Djibouti, kata jurucakap Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) kepada AFP, semalam.
Pendatang terbabit yang semuanya dipercayai adalah warga Ethiopia, berpatah balik selepas gagal memasuki Arab Saudi melalui Yaman berikutan penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19.
“Sekurang-kurang lapan pendatang maut, manakala 12 lagi hilang di laut selepas dipaksa turun dari bot oleh penyeludup di luar pesisir Djibouti.
“Menurut saksi terselamat yang dibantu IOM, tiga penyeludup memaksa mangsa turun dari bot ketika masih berada di laut,” kata jurucakap IOM, Yvonne Ndege.
Ndege berkata, terdapat 34 individu berada di atas bot itu yang menuju ke Obock, iaitu lokasi transit utama di Djibouti bagi ribuan pendatang Afrika di rantau ini yang cuba memasuki negara Teluk.