8 KENDERAAN TERLIBAT KEMALANGAN, DUA MAUT
8 KENDERAAN TERLIBAT KEMALANGAN, DUA MAUT
KLUANG : Dua maut, manakala dua lagi parah serta 11 orang cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan berhampiran Plaza Tol Machap dekat sini, petang hari ini.
Mangsa yang maut dikenal pasti adalah pasangan suami isteri, Wong Fook Onn, 55, dan Chong Yoke Choo, 52.
Kemalangan pada 3.40 petang itu membabitkan dua kereta Hyundai Elantra, Proton Bezza, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volkswagen Tiguan, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan Naza Citra serta tiga lori.
GAMBAR IHSAN JBPM
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 3.46 petang sebelum sebuah jentera dan kenderaan pacuan empat roda dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi dan pemeriksaan yang dilakukan mendapati dua orang mangsa masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang kereta Hyundai Elantra.
“Bagaimanapun, sebaik berjaya dikeluarkan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang datang untuk memberikan bantuan kecemasan.
“Kedua mayat itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang serta klinik kesihatan berdekatan,” katanya.
Sementara itu, Gan Lee Chiu, 46, yang juga rakan karib kepada kedua-dua mangsa berkata, pasangan suami isteri itu dari Kampung Baru Sri Lalang di sini.
Harian Metro melaporkan, mangsa termasuk pemandu dan dua orang penumpang lain menaiki kereta Hyundai Elantra itu adalah daripada satu keluarga yang dipercayai dalam perjalanan pulang bercuti dari Pontian.