8.5 PERATUS USAHAWAN TUTUP KEDAI ANGKARA COVID-19
8.5 PERATUS USAHAWAN TUTUP KEDAI ANGKARA COVID-19
KUANTAN: Penularan wabak COVID-19 sejak tahun lalu menyaksikan sebanyak 8.5 peratus usahawan di seluruh negara terpaksa menghentikan operasi masing-masing.
Selain itu, 58 peratus daripada kira-kira 80,000 usahawan pula berdepan pelbagai masalah lain yang menjejaskan operasi mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelbagai usaha dan inisiatif juga sudah dan sedang dilaksanakan kerajaan bagi membantu usahawan memulihkan kembali perniagaan mereka daripada terus berdepan kesulitan, lapor KOSMO! Online.
“Antara usaha bagi mengurangkan impak ekonomi kepada pemain industri, terutamanya koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan insentif khas program pemulihan pasca COVID-19 berjumlah RM1.66 juta.
“Selain itu, SKM juga menawarkan insentif khas pembiayaan program pemulihan pasca COVID-19 berjumlah RM3.48 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program Perasmian Pasaraya Coop Ummah Milik Koperasi Ummah Berhad, di sini.
GAMBAR IHSAN SKM PAHANG
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Harun dan Pengerusi Koperasi Ummah Berhad, Sabariah Mohd Noor.
Pada majlis sama, Mas Ermieyati turut menyerahkan replika cek kepada 17 wakil koperasi yang terjejas teruk akibat bencana banjir awal tahun ini, melalui Tabung Kecemasan Koperasi SKM.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai perkembangan koperasi di negara ini, Mas Ermieyati berkata terdapat kira-kira 30 peratus koperasi yang dikesan tidak aktif dan usaha sedang dilakukan SKM untuk membantu mereka.
“Bukan mudah kita nak tubuhkan satu-satu koperasi, jadi sayang kalau dibiarkan ia tidak aktif atau lebih teruk lagi, terpaksa ditutup.
“Oleh itu, SKM sentiasa membantu ahli koperasi yang bermasalah ini dengan memberikan khidmat nasihat dan bimbingan, termasuklah membantu mengubah semula pelan perniagaan mereka sebelum ini yang dikatakan tidak memberi pulangan setimpal,” katanya.