76 KES PELBAGAI KESALAHAN PENIAGA DIKOMPAUN KPDNHEP BERNILAI RM20,400
76 KES PELBAGAI KESALAHAN PENIAGA DIKOMPAUN KPDNHEP BERNILAI RM20,400
JERANTUT : Sebanyak 76 kompaun telah dikeluarkan oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (PKPDHEP) cawangan Jerantut yang melibatkan pelbagai kesalahan di bawah akta perdagangan termasuk manipulasi harga minyak masak peket,semalam.
Tindakan kompaun ke atas peniaga terbabit melibatkan 48 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, Akta Timbang dan Sukat (24), Akta Perihal Dagangan (1), Akta Kawalan Bekalan (2) dan Pemeriksaan Pematuhan SOP – Akta 342 (1).
Ketua Penguatkuasa PKPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan semasa operasi pemantauan dan pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa di sini ke atas pasar raya dan kedai runcit di kawasan bandar, kampung dan Felda di daerah ini dan Lipis.
“Tindakan ke atas kompaun kes tersebut melibatkan sejumlah RM20,400 dalam kalangan peniaga di kedua buah daerah ini dan sudah dijelaskan oleh mereka.
“Kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dan Akta Timbang Sukat mencatatkan jumlah yang agak banyak apabila peniaga gagal mempamerkan harga barangan termasuk minyak masak peket serta menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, cuma segelintir peniaga kedai runcit di kawasan tertentu yang memanipulasi harga minyak masak peket dan botol, tetapi tidak melibatkan pasar raya dan kedai mart di kedua buah bandar yang komited serta mematuhi akta perdagangan.
“Penguatkuasa PKPDNHEP cawangan ini akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan ke atas pasar raya dan kedai runcit sepanjang masa termasuk aduan yang diperoleh daripada pengguna.
“Tindakan kompaun di bawah akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dikuatkuasakan sekiranya peniaga masih berdegil ingin mengaut keuntungan ke atas minyak masak peket dan barang keperluan lain,”katanya.
Katanya, semua pengusaha premis dan peniaga kedai runcit perlu mematuhi peraturan ditetapkan sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan termasuk didakwa di mahkamah atau dikenakan kompaun.
“Pengguna dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan bijak membuat pilihan ketika berbelanja dengan memilih barang keperluan dapur serta harga yang telah ditetapkan.
“Aduan atau sebarang pertanyaan mengenai bekalan keperluan asas, harga barangan dan perkhidmatan berkaitan boleh dibuat terus kepada pejabat KPDNHEP Jerantut menerusi talian 09 2601374,” katanya.-SAHIH.