741 pusat pemindahan banjir dikenal pasti, polis siap siaga hadapi Monsun Timur Laut
741 pusat pemindahan banjir dikenal pasti, polis siap siaga hadapi Monsun Timur Laut
TEMERLOH – Sebanyak 741 pusat pemindahan sementara dikenal pasti di seluruh Pahang bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula tidak lama lagi, mampu menampung lebih 150,000 mangsa pada satu-satu masa.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, persediaan rapi dilakukan dengan melibatkan pelbagai agensi termasuk penyediaan 155 pangkalan hadapan serta 2,502 lokasi pendaratan helikopter bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat.
“Keseluruhan keanggotaan kontinjen lebih 6,000 orang termasuk 5,000 pegawai dan anggota polis akan digerakkan mengikut keperluan. Jika ada daerah memerlukan bantuan tambahan, kita akan hantar pasukan task force dari kontinjen negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Temerloh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan jawatan Ketua Polis Daerah Temerloh daripada Asisten Komisioner Mazlan Hassan kepada Penolong Kanan Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron yang turut disaksikan Yahaya.
Menurut Yahaya, semua 11 daerah di Pahang sudah mengenal pasti kawasan ‘hotspot’ banjir berdasarkan rekod sebelum ini, sekali gus membolehkan tindakan awal diambil termasuk pemindahan mangsa.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko ketika banjir, termasuk cuba mengharungi laluan dinaiki air atau membiarkan anak-anak bermain di kawasan berbahaya.
“Dokumen penting perlu disimpan di tempat selamat dan mudah dibawa ketika berpindah. Mangsa juga perlu segera berpindah apabila diminta bagi memastikan keselamatan nyawa terjamin,” katanya.
Beliau berkata, pasukan rondaan khas turut digerakkan di kawasan terjejas banjir bagi mengelak kejadian jenayah pecah rumah ketika penduduk berpindah ke pusat pemindahan.
“Yang penting, kita mahu elak sebarang kehilangan nyawa akibat kecuaian ketika banjir. Orang ramai perlu patuhi arahan pihak berkuasa dan peka dengan maklumat yang disalurkan media,” katanya.-SAHIH