701 projek prasarana berjalan rancak, hanya 3 peratus lewat
Foto atas : Jalan dari Kampung (Kg) Labu, Kg Gemunchor dan Kg Mela sepanjang 17.5 kilometer dalam proses pembinaan, dekat sini, semalam.
701 projek prasarana berjalan rancak, hanya 3 peratus lewat
LIPIS : Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebanyak 701 projek prasarana di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) di seluruh negara sedang berjalan dengan baik dan lancar.
Katanya, hanya segelintir projek prasarana sahaja iaitu kira-kira 3 peratus yang lewat disebabkan beberapa faktor.
“Antara faktor yang berlaku kelewatan bagi projek yang dibina pada tahun 2018 dan 2019 tertangguh disebabkan serangan wabak Covid-19 di seluruh dunia dan berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan menjejaskan semua pergerakan.
“Kelewatan projek juga berlaku disebabkan proses pengambilan tanah dan juga bayaran pampasan yang perlu diselesaikan sebelum meneruskan projek yang terlibat di atas tanah milik perseorangan,” katanya semasa lawatan Kerja Projek Jalan dan Jambatan Dari Kampung (Kg) Labu, Kg Gemunchor dan Kg Mela dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya Cawangan Jalan, Datuk Ir Ibrahim Esa dan Pengarah Kerja Raya Pahang, Datuk Ir. Ts. Hafizah Zakaria.
Katanya, selain itu, berlaku musim tengkujuh yang agak panjang bermula akhir tahun lalu menyebabkan penangguhan pembinaan projek, namun kontraktor sedang melibatganda usaha menjalankan projek masing-masing dengan kadar segera.
“Disebebkan PKP sebelum ini, berlaku kekurangan tenaga kerja kerana ramai pekerja mencari kerja lain dan menyebabkan kontraktor terpaksa mencari pekerja baharu,” katanya.-SAHIH.