70 Gerai R&R Pantai Timur Terima Sijil Halal
70 Gerai R&R Pantai Timur Terima Sijil Halal
TEMERLOH – Sebanyak 70 gerai makanan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) telah memperoleh sijil halal, hasil usaha berterusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama pengurusan lebuh raya dan pengusaha gerai.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, jumlah itu mewakili hampir 80 peratus daripada keseluruhan premis di R&R Pantai Timur yang layak menerima pensijilan halal.
“Saya bersyukur kerana JAIP melalui Bahagian Pengurusan Halal berjaya membantu semua gerai di R&R LPT memperoleh sijil halal. Ini selaras dengan dasar halal negara yang digerakkan secara agresif oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Menurut beliau, inisiatif halal ini tidak hanya tertumpu kepada premis di lebuh raya, malah turut diperluas ke kantin sekolah agama milik kerajaan negeri, sekolah di bawah Kementerian Pendidikan serta dapur hospital di Pahang.
“Di negeri ini, sebanyak 612 premis telah diberi permit halal termasuk sekolah, hospital dan pengusaha kosmetik. Kempen ini bukan hanya menyentuh aspek keagamaan semata-mata, tetapi turut memberi keselesaan kepada pengguna bukan Islam,” katanya.

Syed Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan lebuh raya seperti PLUS serta pengusaha yang memberi kerjasama penuh dalam menjayakan kempen halal negeri.
“Usaha ini berterusan dan kini kita sedang merangka SOP halal di pelabuhan bagi memastikan barangan import juga mematuhi piawaian halal,” katanya.-SAHIH