7 POSITIF SEBELUM MASUK PARLIMEN
7 INDIVIDU POSITIF COVID-19 SEBELUM MASUK PARLIMEN
PUTRAJAYA: Tujuh individu termasuk seorang petugas media yang sepatutnya bertugas di Parlimen disahkan positif COVID-19 melalui saringan sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mereka terbabit termasuk seorang polis bantuan dan isterinya, rakan sekerjanya, seorang petugas media serta pembantu seorang senator.
Beliau berkata, saringan itu dilakukan terhadap semua Ahli Parlimen dan kakitangan di Parlimen.
“Seorang polis bantuan didapati positif dan kita menjalankan pengesanan kontak dan mendapati tiga daripada rakan sekerjanya serta isterinya juga positif.
“Sudah ada lima kes di situ.. seorang lagi berkerja dengan media dan kami sudah menjalankan pengesanan kontak terhadap tujuh ahli keluarganya dan keputusan ujian masih belum diperoleh.
“Pembantu seorang senator juga didapati positif dan kami sudah mengenalpasti 12 kontak rapat.
“Walaupun pembantu itu positif, mereka mungkin dalam tempoh inkubasi jadi kami kuarantinkan semuanya,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.
Beliau berkata, ada tempoh enam minggu daripada hari terakhir Dewan Negara bersidang pada September lalu sehingga mereka menjalani ujian saringan, justeru, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya tidak tahu di mana kakitangan terbabit terdedah kepada jangkitan COVID-19 atau siapa pembawa jangkitan itu kecuali ujian saringan dijalankan setiap dua minggu.
“Inilah cabaran bagi kami.. saringan memang dijalankan, namun kami hanya mampu mengesan antara 30 hingga 40 peratus daripada mereka yang bergejala.
“Bagaimana pun, kita semua tahu mereka mungkin tidak bergejala.. jangkitan boleh berlaku dua hari sebelum simptom muncul dan tujuh hari selepas simptom,” katanya.