68 AHLI GENG NICKY DITAHAN
68 AHLI GENG NICKY DITAHAN
PETALING JAYA: Seramai 68 individu ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan penjenayah buruan polis, Datuk Seri Nicky Liow Soo Hee yang mendalangi kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky.
Bagaimanapun, Nicky Liow kini dipercayai masih bersembunyi dalam negara selepas melarikan diri beberapa jam sebelum operasi serta sempat mengeluarkan lapan buah beg berisi duit dipercayai jutaan ringgit di beberapa bank di Puchong, di sini, lapor Utusan Online.
TAN SRI ABDUL HAMID BADOR
Kesemuanya ditahan di sekitar Selangor dan Lembah Klang menerusi 70 serbuan Op Pelican 3.0 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJk) Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4.
Antara ditahan dua adik Nicky Liow masing-masing bergelar Datuk Seri dan Datuk berusia 28 tahun dan 30 tahun serta seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya yang menjadi orang tengah dalam kegiatan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan mendapati Nicky Liow adalah pengasas Winner Dynasty Group yang mendalangi kegiatan penipuan Macau Scam, penipuan penjualan dalam talian, ah Long, pengubahan wang haram serta gangsterism.
Katanya, suspek turut menjadikan 48 unit kondominium di Setiawalk dipercayai berperanan sebagai pusat panggilan bagi menjalankan kegiatan tersebut.
GAMBAR HIASAN
“Daripada 118 diberkas, seramai 48 orang kanan Nicky Liow ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012, 11 warga China dan seorang Myanmar di bawah Akta Imigresen serta lapan orang lagi didapati positif manakala 50 individu lagi dibebaskan.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru, RM773,145 wang tunai pelbagai mata wang asing serta pelbagai jam berjenama.
“Lapan kenderaan mewah turut dirampas antaranya, Rolls Royce, Bentley, lima Toyota Alphard, Vellfire, BMW, Mercedes, Porsche, Volkswagen dan kesemuanya bernilai RM6.67 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya membekukan 41 akaun bank bernilai RM4.05 juta dan 35 unit kenderaan bernilai RM 8.86 juta melibatkan 21 individu serta 16 entiti di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001.
Katanya, antara entiti dikenal pasti adalah Yayasan Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia selain sedang menjejaki aset lain seperti tanah, rumah dan bangunan.
“Kita percaya anggaran harta dimiliki sindiket ini termasuk saham syarikat, mata wang digital dan hartanah dianggarkan bernilai RM1 bilion.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai kaitan dengan jenayah terancang terancang antarabangsa Broken Tooth yang disenarai hitam oleh US Treasury.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati Nicky mempunyai 12 jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah kekerasan termasuk insiden memukul anggota RELA pada tahun 2017,” katanya.