ANGKASA, BAZNAS meterai MoU perkukuh ekonomi ummah
ANGKASA, BAZNAS meterai MoU perkukuh ekonomi ummah
JAKARTA – Delegasi ANGKASA memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik bagi memperkasa ekonomi ummah, sempena hari kedua lawatan rasmi ke Indonesia, di sini, semalam.
Pemeteraian MoU itu diketuai Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) serta Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah selaku Ketua Delegasi ANGKASA, bersama Wakil Ketua BAZNAS, Mokhamad Mahdum.
Majlis itu turut disaksikan barisan kepimpinan tertinggi BAZNAS, antaranya Pimpinan BAZNAS Bidang Koordinasi Nasional, Achmad Sudrajat serta Timbalan I BAZNAS, Arifin Purwakananta.
Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, kerjasama berkenaan bertujuan memperkukuh pengurusan zakat, pembangunan koperasi masjid serta pelaksanaan program ekonomi ummah yang bersepadu dan berimpak tinggi.

Katanya, MoU itu juga merangkumi aspek perkongsian kepakaran, latihan, penyelidikan dan pembangunan model koperasi masjid yang mampan serta berdaya maju.
“Sinergi antara institusi zakat dan koperasi masjid merupakan pendekatan terbaik dalam memperkasa ekonomi umat Islam.
“Pengurusan zakat yang digabungkan dengan kekuatan koperasi masjid mampu menjana pembangunan ekonomi ummah secara lebih tersusun dan mampan,” katanya.
Pada majlis sama, ANGKASA turut menyampaikan sumbangan infaq kepada lima masjid melalui BAZNAS Republik Indonesia berjumlah USD15,000 bersamaan Rp252 juta sebagai manifestasi komitmen organisasi itu dalam memperkukuh kerjasama strategik serta menyokong usaha kebajikan dan pembangunan ummah di peringkat serantau.
Pada sebelah petang, delegasi ANGKASA meneruskan program dengan Majlis Pelancaran, Lawatan dan Perbincangan bersama Kariah Masjid Annimah di Jakarta Timur.
Program itu memberi tumpuan kepada peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, termasuk potensi pelaksanaan aktiviti ekonomi berasaskan koperasi yang mampu menjana pendapatan serta memperkukuh kebajikan kariah.
Kehadiran delegasi ANGKASA di Masjid Annimah turut disambut Kepala Divisi Bank Zakat BAZNAS, Noor Azis yang menyatakan penghargaan atas kesediaan ANGKASA berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan koperasi kariah masjid.
Beliau berharap lawatan dan perbincangan itu dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara BAZNAS dan ANGKASA dalam memperkasa ekonomi ummah melalui pendekatan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti.

Secara keseluruhan, program hari kedua itu mencerminkan kesungguhan ANGKASA dalam memperluas jaringan strategik antarabangsa serta memperkukuh peranan koperasi sebagai instrumen penting dalam pembangunan ekonomi, sosial dan kebajikan masyarakat di peringkat serantau dan global.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Nor Azmi Abd. Jalil; Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Mohd Safian Abdul Rahman serta Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Wan Azwati Wan Mohamed. – SAHIH
