PEWARIS pertahan warisan seni, buka ruang generasi muda kembali mengenal budaya
PEWARIS pertahan warisan seni, buka ruang generasi muda kembali mengenal budaya
TEMERLOH – Ketika penghayatan seni tradisional dalam kalangan generasi muda semakin menipis, kumpulan Permata Warisan Seni Kg Paya Sok (PEWARIS) tampil menjadi pelopor mempertahankan warisan budaya tempatan agar tidak terus lenyap ditelan peredaran zaman.
Beroperasi di Kampung Paya Sok, Kuala Krau, kumpulan itu ditubuhkan atas kesedaran bahawa seni warisan Melayu mempunyai nilai identiti yang tinggi, sekali gus memerlukan pewaris yang mampu meneruskannya dengan penuh tanggungjawab.
Pengerusinya, Muhamad Saadon Imam Yaakob, berkata penubuhan PEWARIS bertujuan mengekalkan keaslian kesenian Melayu tradisi tanpa sebarang tokok tambah yang boleh menjejaskan bentuk asalnya.

Menurutnya, generasi muda kini lebih cenderung kepada hiburan moden sehingga melupakan seni budaya yang menjadi asas jati diri masyarakat Melayu sejak turun-temurun.
“Walaupun minat semakin berkurangan, seni dan budaya lama tidak pernah hilang nilainya. Ia masih berupaya membentuk disiplin, karakter dan identiti diri jika diasuh dengan betul,” katanya.
Berpegang kepada prinsip itu, PEWARIS aktif memperkenalkan semula pelbagai cabang kesenian tradisional kepada masyarakat termasuk dikir maulud, dikir rebana, marhaban, selain permainan muzik dan tarian seperti gendang Pahang, tarian piring, tarian lilin, tarian ganchong (calok), joget marhum serta permainan porak.
Pengajar kumpulan itu, Mohd Rahmad Zainal Abidin (Aqie Uda), berkata hampir semua seni yang dipelajari memberi pendedahan kepada peserta mengenai disiplin, keseimbangan pergerakan dan keharmonian dalam bermasyarakat.

Katanya, seni tradisional tempatan mempunyai potensi besar untuk berkembang dan dikomersialkan melalui program pembangunan bakat, persembahan kebudayaan dan penyertaan dalam festival seni peringkat negeri mahupun kebangsaan.
“Banyak negara berjaya memasarkan seni tradisional mereka sebagai sumber ekonomi. Seni warisan Pahang juga tidak mustahil boleh pergi jauh jika diberi sokongan dan ruang,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dalam kalangan aktivis budaya juga penting bagi memastikan perjuangan memartabatkan seni tempatan bergerak dalam satu hala tuju yang sama.
Menurutnya, budaya hanya akan terus hidup jika masyarakat melihatnya sebagai sebahagian identiti dan bukan sekadar persembahan untuk hiburan semata-mata.

PEWARIS yang bernaung di bawah JPKK Kampung Paya Sok, Kuala Krau, kini menjadi salah satu kumpulan aktif di daerah ini yang konsisten memelihara seni dan warisan Melayu sebagai aset negeri Pahang.-SAHIH
