Dua Guru Didakwa Rotan Pelajar
Dua Guru Didakwa Rotan Pelajar
GEORGE TOWN – Dua guru sekolah menengah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kedua-dua mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merotan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh pertama, berusia , 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pelajar berkenaan menggunakan rotan dalam bilik disiplin sebuah sekolah menengah di sini, pada jam 4 petang, 2 Ogos 2023.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Farihin Ahmad mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Koay Ee Ting.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dan menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, seorang lagi guru yang sudah bersara, berusia , 59, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama terhadap mangsa yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat sama kira-kira jam 5.30 petang pada 6 Disember 2023.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Zaida Azuwa Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.
Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November ini bagi serahan dokumen.-SAHIH.