6 REMAJA BASIKAL LAJAK DITAHAN
6 REMAJA BASIKAL LAJAK DITAHAN
JOHOR BAHRU: Enam remaja berusia 12 hingga 16 tahun ditahan selepas beraksi dengan basikal lajak masing-masing di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata semua remaja itu ditahan oleh anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, kira-kira jam 3 petang.
Katanya, semua remaja yang ditahan kerana kesalahan menunggang basikal yang diubahsuai, tidak mempunyai brek dan loceng, lapor BH Online.
“Susulan itu, polis mengeluarkan 10 saman Pol 257 di bawah peraturan 42(1)(a) LN 166/59 dan semua basikal lajak itu dirampas mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Semua ibu bapa remaja yang ditahan turut dipanggil ke BSPT IPD JBS untuk tujuan dokumentasi.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Ibu bapa mereka juga dinasihati supaya mengambil tahu mengenai kegiatan anak masing-masing ketika berada di luar rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Padzli berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan secara berterusan bagi mengekang dan membanteras aktiviti basikal lajak ini,” katanya.