6 MAUT UJI VAKSIN COVID-19
6 ORANG MAUT UJIAN PERCUBAAN VAKSIN Pfizer/BioNTech COVID-19
WASHINGTON : Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) mendedahkan enam orang meninggal dunia dalam fasa percubaan vaksin Pfizer/BioNTech COVID-19, hanya beberapa jam selepas Britain menjadi negara pertama dunia menggunakan vaksin itu.
Bagaimanapun, FDA menjelaskan, kes kematian itu tidak menimbulkan isu keselamatan atau persoalan baharu mengenai keberkesanan vaksin kerana ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar yang sama.
Laporan setebal 53 muka surat itu yang dikeluarkan FDA hari ini adalah analisis terperinci pertama berkenaan percubaan vaksin oleh Pfizer dan BioNTech, pada November dengan 95 peratus keberkesanan mencegah jangkitan COVID-19.
Dokumen itu mendedahkan dua mangsa meninggal dunia ketika menerima dos percubaan vaksin itu, manakala empat lagi maut ketika berada di peringkat placebo.
“Semua mangsa yang meninggal dunia mewakili kadar populasi umum dan peringkat kumpulan umur di mana ia berlaku pada kadar sama,” kata laporan itu.
Ia mengesahkan vaksin itu seperti dilaporkan oleh Pfizer, sekurang-kurangnya 95 peratus keberkesanan dalam masa tujuh hari selepas suntikan kedua, menurut laporan agensi berita antarabangsa, thenewdaily.com.
Data terbabit menunjukkan vaksin berkenaan hanya 52 peratus berkesan selepas dos pertama.
Laporan itu merumuskan keberkesanan data memenuhi jangkaan FDA bagi kebenaran kegunaan kecemasan.
Bagaimanapun data itu masih tidak mencukupi untuk merumuskan sejauh mana vaksin itu selamat untuk kanak-kanak di bawah usia 16 tahun, wanita hamil dan individu yang mempunyai gangguan sistem imun.
Hujung minggu ini, panel saintis bebas akan menilai laporan FDA sebelum mengesyorkan sama ada mereka yang berusia 16 tahun ke atas disyorkan menerima vaksin terbabit.
FDA mengatakan keputusan itu menunjukkan titik keberkesanan yang sama antara kumpulan umur, jantina, kaum dan etnik dan peserta dengan komorbiditi perubatan yang berkaitan dengan risiko tinggi COVID-19 .