6 maut van terbabas dekat Genting Highlands
6 maut van terbabas dekat Genting Highlands
ENAM daripada 15 penumpang dan pemandu maut selepas van dinaiki mereka terbabas di kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands, petang tadi.
Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pusat gerakan operasi bomba Pahang menerima laporan kemalangan itu jam 1.15 petang.
“Seramai lima pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands dihantar ke lokasi kejadian sebaik laporan diterima.
“Berdasarkan maklumat awal, terdapat 15 penumpang, termasuk pemandu van yang terbabit dalam kejadian itu.
“Enam daripadanya maut dalam kemalangan itu akibat tersepit dan mayat mereka berjaya dikeluarkan pegawai dan anggota kami menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Ismail berkata, lima yang maut adalah penumpang wanita manakala seorang lagi adalah lelaki.
Katanya, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Bentong bagi tujuan bedah siasat.
“Pasukan ambulan dari Genting Highlands dan hospital berhampiran turut berada di lokasi bagi memberikan bantuan.
“Operasi mengeluarkan semua mangsa sedang dijalankan dan mereka yang selamat dan cedera akan dihantar ke hospital berhampiran bagi rawatan lanjut,” katanya.-SAHIH