6 EKOR GAJAH BERJAYA DITAWAN DI ULU RETANG
6 EKOR GAJAH BERJAYA DITAWAN DI ULU RETANG.
JERANTUT: Enam ekor gajah berjaya ditawan di kawasan perkampungan Pasir Durian, Kampung Doja, Kuala Retang, Ulu Retang serta kawasan berdekatan setelah menceroboh masuk ke kawasan kebun penduduk kampung seminggu sebelum ditangkap.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Rozidan Md Yasin berkata, operasi penangkapan dimulakan pada 1 Februari lalu setelah mendapat aduan daripada penduduk kampung.
“Anggota PERHILITAN berjaya menangkap sebanyak 4 ekor pada 5 Februari serta dapat menangkap dua ekor gajah lagi yang merayau di kawasan yang sama pada hari berikutnya.
“Proses perpindahan akan dilakukan dan dihantar ke lokasi pelepasan secara berperingkat dan proses penghantaran pertama sebanyak 2 ekor pada hari ini (Isnin) ke Hutan Simpan Tembat, Terengganu,” katanya ketika ditemui di Kampung Selimbar, semalam.
Katanya, semua gajah tersebut yang mempunyai saiz tapak kaki antara 25.4 sentimeter (10 inci) sehingga 35.5 cm (14 inci) dan dianggarkan berusia antara 15 ke 30 tahun serta seberat 2 tan sehingga 2.5 tan.
“Berdasarkan kebiasaan, kemungkinan terdapat kumpulan gajah lagi yang dipercayai akan datang dari arah Hutan Simpan Tekai dan Tekam untuk mencari kawannya, diharap penduduk kampung berhati-hati ketika berhasrat ke kebun masing-masing,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Ulu Retang, Hamzah Maliki berkata, sebelum pihak PERHILITAN datang memantau dan membantu menangkap haiwan itu, penduduk kampung sentiasa berasa bimbang.
“Mereka bimbang untuk masuk ke kebun masing-masing kerana terdapat kebun pisang dan sawit dirosakkan oleh sekawan gajah ini seminggu sebelum operasi dijalankan.
“Diharap penduduk kampung sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan memaklumkan dengan segera sekiranya ternampak kelibat haiwan ini serta jangan mengambil tindakan sendiri kerana boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan orang lain,”katanya.
Operasi menjejak dan menangkap gajah tersebut dilakukan oleh Unit Tangkapan Gajah Pahang dan Kuala Gandah serta turut dibantu anggota dari PERHILITAN Jerantut dan Temerloh dengan jumlah keseluruhan kira-kira 20 orang.
Turut serta seorang doktor veterina dari Gua Musang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jerantut dan tiga ekor gajah denak dari Pusat Konsevasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.