6 calon G7 turun padang di Felda Jengka 10
6 calon G7 turun padang di Felda Jengka 10
JERANTUT : Suasana kempen Pemilihan UMNO 2025 G7 semakin hangat apabila enam calon turun padang bertemu ahli perwakilan di Felda Jengka 10, semalam.
Kehadiran mereka disambut kira-kira 100 ahli perwakilan yang hadir bagi mendengar sendiri amanat dan hasrat calon yang menawarkan diri untuk mewakili bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Enam calon terbabit ialah Razak Daud (Calon No. 5), Wan Albaizam Wan Basri (No. 6), Muhamad Murad Hashim @ Idris (No. 7), Ahmad Farouq Fauzi (No. 8), Jamaludin Baharin (No. 11) dan Mohd Muhaidin Mahsan (No. 12).
Calon No. 5, Razak Daud berkata, kehadiran ramai ahli perwakilan di Felda Jengka 10 membuktikan semangat dan minat ahli parti terhadap proses pemilihan masih kukuh.
“Kami bukan sekadar memperkenalkan diri, tetapi turut berkongsi idea dan perancangan sekiranya diberi mandat sebagai wakil bahagian ke peringkat tertinggi parti,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, kempen itu juga menjadi platform untuk mendengar pandangan akar umbi mengenai hala tuju dan masa depan parti, selain memperkukuh perpaduan sesama ahli.
Sesi berkempen berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat, malah turut menjadi medan dialog terbuka antara calon dan ahli perwakilan.
Pemilihan calon G7 UMNO Bahagian Jerantut dijadual berlangsung pada 13 Julai ini dan bakal menentukan barisan wakil yang akan membawa suara bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO 2025 di WTCKL.-SAHIH