59 orang murid dari 6 sekolah sertai Program Silang Budaya di Thai
Foto atas : Rombongan 59 murid dari 6 sekolah di PPD Petaling Perdana bergambar kenangan di Hatyai, Thai baru-baru ini.
59 orang murid dari 6 sekolah sertai Program Silang Budaya di Thai
LIMA puluh sembilan murid dari enam buah sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana telah menyertai Program Siang Budaya Malaysia – Thai 2023 yang diadakan selama 4 hari di Bankhlongwa School, Hatyai, Thai, baru-baru ini.
Program jaringan itu disertai oleh sekolah di bawah pentadbiran PPD Petaling Perdana iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3 (SKJU3), SK Subang Bestari 2(SKSB2), SK Setia Alam (SKSA), SK Bandar Anggerik (SKBA) , SK Seksyen 20 (SKS20) dan SK USJ12 dengan mengadakan persembahan kebudayaan dan kesenian Melayu.
Guru Besar SKJU3, Md Hishamuddin Md Yaacob berkata, program silang budaya itu sebagai satu elemen penting dalam usaha sekolah untuk mengantarabangsakan sektor pendidikan di negara ini.
“Program ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang ingin diterapkan kepada semua murid dengan nilai-nilai teras dan sejagat serta kukuh dengan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
“Jalingan program ini juga dapat memberi pendedahan budaya masyarakat setempat yang dilawati selain itu untuk memupuk komunikasi berkesan, menanam keyakinan diri dan menerap nilai jati diri dan identiti nasional dalam kalangan murid,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar, SK Seksyen 20, Lutfee Ismail Amir berkata, tema persembahan yang diadakan di negara gajah putih itu bertemakan majlis perkahwinan tradisional Melayu.
“Dalam persembahan itu disisipkan adat persandingan Melayu dengan disulami persembahan perarakan pengantin oleh murid SKBA, turut diadakan persembahan permainan kompang oleh murid SKS20 dan turut diserikan dengan persembahan silat gayung oleh murid SKJU3.
“Malah, untuk melengkapkan persembahan, turut dilengkapi dengan tari raja sehari oleh murid SKSA dan sepasang pengantin dengan mengenakan busana Melayu yang lengkap, tarian Inang oleh SKUSJ12 dan persembahan Dikir Barat oleh SKSB2, ” katanya.
Seorang guru pengiring SKS20, Anis Huda Amir Hamzah berkata, program sebegini memberi peluang murid untuk mengetahui budaya Thai.
“Murid dan guru yang mengikuti program ini turut mengenali budaya, beberapa jenis tarian dan alat muzik Thai yang dipersembahkan oleh murid sekolah di situ kepada rombongan kami.
“Selain itu, murid dari 6 sekolah dari Shah Alam yang mengikuti program ini dengan mengadakan persembahan masing-masing mencerminkan negara kita kaya dengan budaya yang boleh dibanggakan,” katanya.-SAHIH.