5,750 KAMPIT BERAS PERCUMA DIAGIHKAN
5,750 KAMPIT BERAS PERCUMA DIAGIHKAN
KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,750 kampit beras percuma setiap minggu akan mula disumbangkan kepada penduduk dari kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata inisiatif menerusi Program MyBeras@Wilayah itu dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.
“Saya ingin mengingatkan dalam proses pengagihan, jangan lupa perlu kekal mematuhi SOP (prosedur operasi standard) tertentu yang ditetapkan demi menjaga diri kita dari dijangkiti COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Pelancaran Program Kemiskinan Bandar (5My) Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 yang berlangsung secara maya, hari ini.
Muhyiddin berkata, sejak program 5My dilaksana bermula tahun lalu, lebih 35,000 individu termasuk ketua isi rumah serta 331 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur sudah menerima bantuan langsung dan manfaat dari inisiatif itu.
Selain MyBeras@Wilayah, My5 juga menampilkan inisiatif MYJobs@Wilayah; MYGrocer@Wilayah; MYSchoolBus@Wilayah; MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 6,805 individu kehilangan pekerjaan pada Disember lalu berdasarkan statistik data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Perdana Menteri berkata, dari segi pencari kerja, seramai 53, 869 orang direkodkan berbanding lebih 170,000 kekosongan jawatan yang ada.
Muhyiddin juga berkata, berdasarkan tinjauan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional sudah meningkat kepada RM2,208 sebulan bagi setiap isi rumah.
“Ini bermakna, lebih 400,000 isi rumah yang berpendapatan kurang daripada PGK ini sudah tergolong dalam kategori miskin,” katanya.
Pada Julai lalu, Jabatan Perangkaan mengumumkan PGK disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019, lapor BH ONLINE.
Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.