Lima pelancong warga British yang hilang ditemui di Kampung Pagi, Ulu Tembeling
Lima pelancong warga British yang hilang ditemui di Kampung Pagi, Ulu Tembeling
JERANTUT – Seramai lima orang pelancong warga British berusia antara 22 hingga 62 tahun dipercayai hilang di hutan Kampung Pagi ditemukan oleh pasukan pencari dan penyelamat di Sungai Relok berdekatan Kampung Pagi, Ulu Tembeling dekat sini hari ini.
Pelancong berkenaan terdiri daripada sekeluarga, iaitu Rhys William Woodfield, 30, seorang pengacara dan penerbit bebas, Siaw Woodfield), 25, Owen Woodfield, 22, serta dua orang warga emas, James Woodfield, 62, dan isterinya, Rachel Anne Woodfield, 60.
Keluarga tersebut yang tiba di pusat peranginan hutan tropika Taman Negara pada 25 September 2022 lalu dan menginap di Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur pada 27 September 2022 (semalam) dan dijangka tiba pada jam 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mazlan Hassan berkata, isteri salah seorang mangsa, Haigbrown Woodfield yang berusia 30 tahun, yang beralamat di Danau Impian Condo, Taman Desa Jaya, Kuala Lumpur telah membuat laporan polis di sini berikutan kehilangan ahli keluarganya.
“Kita memperoleh maklumat daripada isteri mangsa, percaya lokasi terakhir suaminya, Rhys William Woodfield serta keluarganya berada di kawasan hutan Kampung Pagi, Ulu Tembeling.
“Seramai tiga orang pegawai, 14 anggota polis dibantu lima kenderaan terus membuat penugasan mencari di sekitar Kampung Pagi pada 2.30 pagi hari ini melibatkan bantuan Pengusaha Eco Rimba Taman Negara Kuala Tahan dan anggota Pondok Polis Kuala Tahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mazlan, operasi mencari menyelamat turut dilakukan oleh anggota Pondok Polis Kampung Bantal dengan membuat rondaan dari Kampung Bantal hingga ke Kampung Pagi pada jam 2.35 pagi.
Beliau berkata, agansi lain yang terbabit operasi mencari dan menyelamat, iaitu anggota bomba dan penyelamat Jerantut seramai enam orang dan dua buah kenderaan pacuan empat roda, Angkatan Pertahanan Awam alaysia (APAM) (8 orang), Jabatan Perhilitan dan Taman Negara (4 orang), Pasukan Gerakan Udara (5 orang) dan 20 orang orang penduduk setempat serta tujuh buah motosikal.
“Operasi mencari dan menyelamat disambung pada pukul 8 pagi hari ini dan kita membuka pusat operasi dibuka pada jam 10 pagi hari ini di Balai Raya Kampung Pagi,” katanya.
Mazlan berkata, semua mangsa hilang kemudiannya berjaya ditemui dalam keadaan selamat di kawasan Sungai Relok berdekatan Kampung Pagi pada jam 1.10 petang hari ini dan keluarga warga British itu segera dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Tahan untuk pemeriksaan kesihatan.
“Saya berterima kasih kepada semua agensi tugas mencari dan menyelamat termasuk penduduk di sini kerana bertindak pantas dan cekap sehingga menemukan keluarga British ini dengan selamat,” katanya.-SAHIH.