50,000 IKAN TIDAK TERJUAL AKIBAT PKP SILIH BERGANTI
50,000 IKAN TIDAK TERJUAL AKIBAT PKP SILIH BERGANTI
ORANG RAMAI TIDAK SUKA MAKAN ‘IKAN TUA’
LIPIS: Kira-kira 50,000 ekor ikan patin, lampam dan tilapia sangkar di Sungai Jelai tidak terjual akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersilih ganti dengan PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan sehingga ini beralih PKP semula.
Langkah penguatkuasaan tersebut yang menghadkan pergerakan penternak untuk memasarkannya atau pemborong untuk mendapat bekalan mengakibatkan pengusaha menanggung kerugian membeli bahan makanan tambahan ikan tersebut yang sepatutnya mengikut jadual sudah boleh dijual.
Pengusaha, Khairul Anuar Ahmad Mahir, 32, berkata, hasrat untuk mendapatkan peroleh pulangan modal tidak kesampaian malah semakin tertekan memikirkan kerugian ditanggung akibat ikan yang sepatutnya dijual tidak dapat dipasarkan.
“Pengusaha ternakan ikan sangkar Sungai Jelai di sini terjejas pendapatannya sejak awal tahun ini semakin parah sejak ikan patin, tilapia, lampam dan keli terbantut di pasaran berikutan sekatan rentas daerah dan negeri dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Walaupun negeri ini sudah memasuki Fasa 2, PKP serta kelonggaran rentas daerah, tetapi ikan yang diternak ini sudah melebihi usia matang dan tidak laku lagi di pasaran,” katanya di Kampung Ganding, Lipis, semalam.
Katanya, sebelum PKP, sebelum 2020 dahulu, kita mampu memasarkan anggaran dua tan ikan seminggu di bandar Kuala Lipis, Jerantut dan Lembah Kelang dengan harga RM17 sekilogram bagi ikan patin dan tilapia, manakala lampam (RM35 se-kg) dan ikan keli (RM7 se kg).
“Sejak PKP Mei lalu, ternakan ini hanya cuma dipasarkan seberat 200 kilogram sahaja setiap minggu malahan kadang-kadang kurang di kawasan kampung berdekatan dan langsung tidak dapat mengembalikan modal hasil pasaran ini.
Sepupunya, Mohktar Mohamad, 55, berkata, malahan modal pusingan mereka sudah habis kerana digunakan untuk membeli makanan ikan antara RM60 hingga RM70 beg sehari dan ikan ini pula melebihi usia matang, kualitinya ‘ikan tua’ ini tidak digemari orang ramai .
“Setelah memasuki kelonggaran berniaga Fasa 2, PKP ini, mereka cuma membuka gerai di tepi jalan raya Jerantut – Lipis berdekatan Kampung Ganding untuk menjual ikan tersebut kepada pengguna jalan tersebut.
“Hasil pasaran ikan ini cuma mampu menampung belanja keperluan harian sahaja kerana saya tidak mampu membuat pekerjaan lain, malahan tidak dapat menabung langsung untuk persediaan bagi keluarga waktu kecemasan,” katanya.
Katanya, mereka tidak tahu apa yang perlu dibuat apabila ternakan yang berusia lebih enam bulan dan ada yang sudah melebihi setahun tidak laku dijual malahan bolehlah saya katakan ternakan ini lama-kelamaan akan berkubur di dasar sungai,” katanya.-SAHIH