500 cermin mata diedarkan kepada warga emas untuk bertadarus
Foto atas: Suraya Abdul Kahar (dua dari kiri), Hamidi dan ahli Nona Penggaram menunjukkan contoh cermin mata yang diberi percuma.
BATU PAHAT – Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat mengedarkan cermin mata percuma kepada mereka yang berumur antara 40 tahun dan 90 tahun, di Pasar Tani Jalan Omar, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.
Pengerusi biro berkenaan, Hamidi Mat Tap, berkata langkah itu diambil bagi membantu dalam kalangan warga emas apabila ada antara mereka yang tidak berkemampuan membeli cermin mata bagi digunakan untuk membaca serta melaksanakan tugas seharian.
Katanya, berkebetulan pula pada Ramadan sekarang cermin mata itu amat diperlukan warga emas terbabit yang menghadapi masalah penglihatan apabila menyertai program tadarus al-Quran di surau, masjid atau bersendirian di rumah.
Jelasnya, program itu juga atas cadangan pelbagai peringkat ahli UMNO bahagian itu yang menyuarakan keprihatinan mereka terhadap warga emas yang menghadapi masalah penglihatan apabila hendak melakukan tugas harian termasuk ketika membaca al-Quran.
Apabila program ini diuar-uarkan dalam kalangan ahli UMNO, ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seorang dermawan bersetuju menyediakan cermin mata untuk diagihkan secara percuma kepada warga emas yang memerlukan.
“Seawal jam 9 pagi pada hari berkenaan ramai warga emas menyerbu gerai yang mengedarkan secara percuma cermin mata ini dan mereka diberi kesempatan untuk memilih cermin mata yang bersesuaian dengan masalah penglihatan yang dialami.
“Pelbagai ahli NGO seperti Nona Penggaram, Happy Care dan sebagainya turut turun padang untuk memberi nasihat dan membantu warga emas memilih cermin mata yang bersesuaian, “ katanya yang juga Ketua Kampung Parit Jorak Elahi.
Menurut Hamidi, program edaran percuma cermin mata itu adalah kali pertama diadakan dan mendapat sambutan luar biasa daripada warga emas sekitar daerah berkenaan yang berasa terharu dengan pihak yang prihatin dengan masalah penglihatan mereka.
Beliau berkata, bagi sesetengah warga emas itu yang bekerja sendiri dengan punca pendapatan tidak menentu memang menjadi beban kepada mereka membeli atau menempah cermin mata yang bersesuaian dengan tahap penglihatan.
“Apabila dimaklumkan ada pihak yang akan mengedarkan secara percuma cermin mata, mereka ini tidak segan untuk datang seawal pagi bagi mendapatkan cermin mata sambil membeli belah di pasar tani untuk keperluan pada Ramadan,” katanya.
Pengerusi Nona Penggaram, Suraya Abdul Kahar, berkata beliau bersama-sama ahli dan NGO lain membantu mengedarkan hampir 500 cermin mata kepada warga emas pada hari berkenaan yang rata-rata melahirkan kesukaran penglihatan apabila hendak bertadarus.
Tambahnya, selain itu warga emas terbabit juga melahirkan kepayahan mereka membeli cermin mata apabila harga agak mahal dan mereka pula tidak mempunyai pendapatan tambahan kerana sebahagian besarnya bekerja kampung.
“Kami ahli NGO turut berasa gembira dan terharu dengan kesediaan dermawan menghulurkan sumbangan bagi mendapatkan cermin mata berkenaan yang turut membantu dalam kalangan warga emas wanita untuk membaca serta urusan kerja mengambil upah menjahit pakaian,” katanya.-SAHIH.