50 RUMAH HANGUS DI KAMPUNG TITINGAN, TAWAU
50 RUMAH HANGUS DI KAMPUNG TITINGAN, TAWAU
Tawau: Kira-kira 50 buah rumah musnah dalam kebakaran membabitkan Blok 9, 10 dan 11 di Kampung Titingan, di sini, hari ini.
Kejadian 9 pagi itu dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan itu sebelum merebak ke rumah berhampiran, berikutan struktur binaan daripada papan selain kedudukannya yang rapat antara satu sama lain.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penguasa Kanan Bomba II, Sukur Hatta berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.33 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pasukan bomba yang tiba lima minit kemudian mendapati api sedang marak membakar beberapa buah rumah dan operasi memadam kebakaran segera dilakukan.
“Kita menghadapi sedikit cabaran dalam memadam kebakaran berikutan struktur binaan rumah papan yang terlalu rapat antara satu sama lain, serta kedudukan pili bomba yang agak jauh (250 meter) selain terpaksa menggunakan sumber air terbuka.
“Walau bagaimanapun tindakan pantas anggota kami yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal api dari terus merebak sebelum kebakaran dapat dikawal pada jam 10.55 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini., lapor HM online
Sukur berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.