5 sekeluarga terkorban kebakaran: Tiga ditemukan dalam bilik air
RAUB – Tiga daripada lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, di sini, awal pagi tadi ditemukan di bilik air manakala dua lagi di luar rumah.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata mangsa yang ditemukan dalam bilik air ialah seorang lelaki dan wanita dewasa serta anak perempuan pasangan itu.
Beliau berkata, dua mangsa kanak-kanak perempuan yang ditemukan di luar rumah dua bilik itu dipercayai cuba menyelamatkan diri semasa kejadian.
“Dua kanak-kanak itu ditemukan sudah rentung di luar rumah sebaik sahaja bomba sampai pada 4.15 pagi.
“Tiga lagi dijumpai di dalam bilik air dengan kecederaan melecur selepas pemadaman penuh selesai,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim.
Nor Hisham berkata, mangsa berkemungkinan menyedari kebakaran ketika api sudah marak yang menyukarkan mereka menyelamatkan diri.
“Siasatan awal mendapati laluan keluar tidak dipasang jeriji besi dan boleh dibuka dengan cepat. Kemungkinan besar mereka sedar semasa api sudah marak yang menyukarkan pandangan untuk melepaskan diri,” katanya.
Bagaimanapun, Nor Hisham berkata, siasatan lanjut termasuk bagi mengenal pasti jika terdapat unsur lain terbabit dalam kebakaran itu masih diteruskan dan akan turut menggunakan khidmat anjing pengesan.
Tinjauan Bernama mendapati dua anjing pengesan, iaitu Cleo dan Derry berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
Terdahulu, Mohd Razam berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman berjaya mengawal api pada 4.48 pagi.
Beliau berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.
Sumber – BERNAMA.
