5 MAUT AKIBAT BERSESAK DALAM FERI
5 MAUT AKIBAT BERSESAK DALAM FERI
DHAKA: Sekurang-kurangnya lima maut dalam sebuah feri sesak memuatkan lebih 1,000 penumpang yang ingin pulang ke kampung menjelang Aidilfitri, berhampiran Shibchar, barat daya Dhaka.
Kesesakan berlaku disebabkan orang ramai menentang sekatan dikenakan bagi mengekang COVID-19 pada cuti perayaan kali ini.
Feri yang berfungsi untuk membawa ambulans dan trak pengangkutan makanan itu diserbu dan digunakan orang ramai secara paksa hingga mengundang bahaya kepada penumpang yang menaikinya.
Setiap tahun, puluhan juta warga Bangladesh pulang ke kampung tetapi kali ini semua perkhidmatan bas, kereta api dan kapal dihentikan bagi mencegah virus tersebar.
Sementara itu, pegawai polis, Chailau Marma, berkata penumpang yang dibawa keluar dari dalam feri itu disyaki mengalami strok haba.
“Kami menghantar mereka ke hospital di mana mangsa disahkan maut dan sekurang-kurangnya lapan orang lagi dirawat di hospital.
“Feri penuh sesak kerana lebih 1,000 orang menaikinya,” katanya.
Sementara itu, pegawai polis, Hafizur Rahman, berkata orang ramai berkumpul di stesen feri yang penuh dengan harapan dapat menaikinya untuk pulang ke kampung halaman.
“Kesesakan berlaku sepanjang lima kilometer dengan kereta dan van beratur di Mawa hari ini menunggu untuk menyeberangi sungai Padma,” katanya, lapor AFP.
Pakar kesihatan bimbang pergerakan besar-besaran akan menyebarkan virus ke hampir 100,000 kampung di luar bandar yang belum terkesan akibat wabak itu.
Bangladesh melaporkan lebih 12,000 orang maut akibat virus itu sementara hampir 800,000 orang dijangkiti, tetapi pakar berkata angka sebenar adalah jauh lebih tinggi.