5 KLUSTER BAHARU DIKESAN
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan kesan lima kluster baharu iaitu dua di Sabah dan masing-masing satu di Selangor, Johor dan Kelantan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kebanyakan kluster yang dikesan hari ini adalah hasil saringan individu bergejala serta saringan di tempat kerja.
Katanya, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah membabitkan Petaling, Selangor hasil saringan di sebuah tapak pembinaan dan sudah menjangkiti 49 individu.
“Kluster kedua dikesan di daerah Kota Kinabalu dan Tuaran, Sabah hasil saringan individu bergejala. Kluster ini dikenali sebagai Kluster Keris Residence dan sudah menjangkiti 41 individu.
“Bagi kluster seterusnya, ia dikesan di daerah Johor Bharu dan Kulai yang dikenali sebagai Kluster Jalan Timah. Kluster ini dikesan hasil saringan individu bergejala dan sudah menjangkiti 26 individu,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari BH Online di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kluster keempat dikesan di Kalabakan, Sabah yang dinamakan sebagai Kluster Brumas hasil saringan kendiri pada 8 Disember lalu serta sudah menjangkiti 16 individu.
“Kluster terakhir yang dikesan hari ini ialah Kluster Long Panji iaitu di Kota Bharu dan Machang di Kelantan. Kluster ini adalah hasil saringan individu bergejala dan sudah menjangkiti 11 individu,” katanya.