5 KILANG HARAM DISITA
Berita Nasional
5 KILANG HARAM DISITA
TEMERLOH: Kerajaan Pahang menyita lima kilang haram sejak tahun lalu kerana terbabit dalam aktiviti mencemarkan alam sekitar dan tidak menguruskan sisa buangan kilang seperti disarankan Jabatan Alam Sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, dua daripadanya dikenakan tindakan sita tahun lalu, manakala tiga lagi disita tahun ini.
“Tindakan menyita kilang ini diambil selepas mereka (pengusaha kilang) tidak mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan, terutamanya membabitkan kaedah pengurusan sisa buangan dari kilang berkenaan.
“Kita kategorikan mereka ini sebagai Penjenayah Alam Sekitar kerana sikap tidak bertanggungjawab pemilik kilang terbabit mengakibatkan masalah kepada usaha kerajaan Pahang menjaga kelestarian alam sekitar di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri Alam Sekitar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar secara dalam talian, di sini, hari ini.
Mohd Sharkar berkata, selain isu kilang haram, mesyuarat turut membincangkan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula hujung bulan ini dan isu zon penampan bagi sungai di seluruh negara.
Turut hadir Tn Hj Mohd Sani bin Mat Daud, Pengarah JAS Negeri Pahang.
“Berkaitan isu Monsun Timur Laut, kita (kerajaan Pahang) akan mengumumkan kemudian mengenai jumlah pangkalan hadapan dan pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir… perkara ini diuruskan melalui Jawatankuasa Tindakan Bencana Negeri diketuai Setiausaha Kerajaan negeri
“Berkaitan isu zon penampan untuk sungai pula, saya dimaklumkan pelancaran bagi kempen berkenaan akan dilakukan hujung minggu ini di Kota Bharu, Kelantan oleh Menteri berkaitan… untuk peringkat Pahang, kita mulakan di Sungai Galing dan Sungai Balok,” katanya.