5 JAM SELAMATKAN TAPIR
5 JAM SELAMATKAN TAPIR
KUANTAN: Sepasukan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kerjasama kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil masa kira-kira lima jam untuk menyelamatkan seekor tapir yang terjatuh di dalam longkang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, dekat sini, pagi tadi.
Pegawai APM Kuantan, Kapten (PA) Zaubidah Said berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan tapir itu jam 11.58 pagi dan seorang pegawai bersama enam anggota APM dihantar ke lokasi kejadian bagi tujuan menyelamatkan tapir yang dipercayai tersesat itu.
GAMBAR IHSAN APM PAHANG
“Pasukan APM yang ditugaskan menyelamatkan haiwan berkenaan berusaha kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan tapir itu, namun tidak berjaya berikutan haiwan terbabit mempunyai berat hampir 300 kilogram.
“Berikutan kesukaran dihadapi pasukan, mereka kemudiannya menghubungi PERHILITAN untuk mendapatkan bantuan.
“Operasi menyelamatkan tapir itu akhirnya berjaya selepas hampir lima jam pihak APM dan PERHILITAN berusaha mengeluarkan haiwan terbabit dari longkang sekolah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, petang tadi, lapor KOSMO! Online.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, tapir itu tidak mengalami kecederaan serius akibat terjatuh dan terperangkap dalam longkang sekolah terbabit.
Katanya, pihak PERHILITAN akan merawat kesan luka pada beberapa bahagian badan haiwan itu sebelum dilepaskan semula ke habitat asal sebaik sahaja tapir itu sudah pulih dari kecederaan.