5 ADUN LANTIKAN TANPA PROSES PILIHAN RAYA
DUN PAHANG LULUS USUL TANPA KEHADIRAN PEMBANGKANG
KUANTAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan usul meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik 5 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa proses pilihan raya.
Usul dicadangkan Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail dan diluluskan dengan suara majoriti tanpa kehadiran pembangkang, apabila tujuh ADUN DAP dan seorang daripada PKR bertindak keluar dewan sebagai tanda bantahan.
WAN Rosdy Wan Ismail
Seorang lagi ADUN PKR, Lee Chean Chung dari Semambu tidak hadir pada persidangan hari ini, kerana difahamkan mengikuti seminar di luar negara.
Terdahulu, Wan Rosdy mengusulkan pindaan terhadap Perkara 18 Bahagian Kedua undang-undang itu dibuat bagi membolehkan lantikan 5 ADUN daripada golongan berkaliber, bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat, khususnya dalam situasi pandemik COVID-19 yang belum pasti kesudahannya.
“Pertambahan ADUN dilantik ini mampu mengurangkan kadar nisbah seorang ADUN dengan jumlah penduduk, kerana kita adalah negeri yang besar. Ini adalah untuk saling melengkapi dan bukan pertindihan kepada perkhidmatan ADUN sedia ada.
“Lantikan ini tidak bersifat politiking, sebaliknya berorientasikan rakyat. Kita nampak peluang mereka untuk berkhidmat dan perlu dibawa ke DUN untuk justifikasi kelayakan profesional mereka, sebelum boleh dilantik,” katanya pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang dipetik dari Bernama.
Pindaan itu, menurut Wan Rosdy menyatakan lantikan ADUN berkenaan hendaklah atas usul 7 ADUN dan mendapat kelulusan majoriti mudah, selain mereka boleh mengambil bahagian dalam perbahasan dan berhak mengundi.
Bagaimanapun, 5 ADUN dilantik itu tidak layak dipilih sebagai menteri besar atau menganggotai majlis mesyuarat kerajaan negeri (EXCO).
“Lantikan ini bukan luar biasa kerana Sabah dan Terengganu sudah melaksanakannya. Pindaan ini sudah dibincangkan pada mesyuarat EXCO 22 Julai lalu dan mesyuarat pasca EXCO pada 3 Ogos lalu yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri juga bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.
ADUN Bilut, Lee Chin Chen merupakan yang pertama membantah usul itu kerana mendakwa lantikan itu melanggar prinsip demokrasi, kerana mereka yang tidak mendapat mandat rakyat menerusi pilihan raya boleh berada dalam DUN Pahang, selain menyifatkan lantikan itu sebagai pintu belakang.
ADUN Ketari, Young Syefura Othman juga membantah mengatakan tindakan itu kerana melibatkan implikasi kewangan, selain berpandangan tiada keperluan untuk menstabilkan kerajaan negeri menerusi lantikan tersebut, kerana jumlah pembangkang kecil jika dibandingkan dengan kerjasama 25 ADUN BN dan 8 wakil rakyat PAS.
Bekas menteri besar, Adnan Yaakob yang juga ADUN Pelangai berkata, tindakan itu wajar dilakukan bagi membolehkan kerajaan negeri melantik seorang wakil profesional daripada golongan minoriti atau yang tidak menang pilihan raya ke dalam DUN, untuk mengutarakan permasalahan masyarakat mereka.
Persidangan bersambung pada tarikh akan ditentukan kelak.