Shidee Gegar Vaganza kemalangan
Shidee Gegar Vaganza alami kemalangan dalam perjalanan ke surau
KUALA LUMPUR – Penyanyi Shidee dilaporkan terbabit dalam kemalangan di kawasan kediamannya di PPR Pinggiran Bukit Jalil, pada Ahad (6 Feb).
Bagaimanapun kata Shidee, dia tidak menyedari kemalangan tersebut berlaku dan hanya tahu dirinya terbabit kecelakaan selepas berada dalam ambulans, menurut laporan Gempak.
“Saya tak sedar apa-apa dan hanya tahu saya kemalangan apabila berada dalam ambulans,” katanya.
Menurut Shidee, kemalangan berlaku ketika dia sedang menuju ke surau untuk menunaikan solat Asar.
Peserta Gegar Vaganza 8 itu yang juga bilal di surau terbabit berkata, dia sukar mengingati sama ada dirinya terjatuh atau dilanggar oleh orang lain dalam kejadian berkenaan.
“Saya pergi ke surau menaiki skuter elektrik. Kalau nak dikatakan saya jatuh, mestilah saya tahu perkara ini. Tapi ini sedar-sedar saya dalam ambulans dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM) untuk pemeriksaan lanjut.
“Sekarang pun saya masih dalam keadaan lemah dan alami luka kecil. Doktor kata keadaan saya okey tapi apabila bangun saya pening dan rasa berpusing,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia ingin melihat perkembangan dirinya lebih lanjut sebelum kembali bertemu doktor, lapor Gempak.
“Tapi rasanya saya kena pergi juga buat pemeriksaan sekali lagi kerana saya batuk keluar darah dan ini merisaukan saya,” kata Shidee, memetik laporan Harian Metro, pada Isnin (8 Feb).
“Semalam doktor buat imbasan sinar X sebanyak dua kali dan kata saya okay, tiada luka dalaman.
“Namun apabila balik rumah, baharulah saya batuk dan keluar darah. Doktor tak tahu berkenaan perkara ini,” kata Shidee, yang dilaporkan telah dibenarkan pulang ke rumah Isnin malam (8 Feb), menurut laporan Gempak lagi.