45 Ekor Lembu Korban Semarak Aidiladha di Felda Jengka 24
45 Ekor Lembu Korban Semarak Aidiladha di Felda Jengka 24
JERANTUT, – Suasana Hari Raya Aidiladha 2025 di Felda Jengka 24 disambut meriah dan penuh semangat pengorbanan apabila sebanyak 45 ekor lembu dikorbankan hasil inisiatif Ketua Peneroka, Razak Daud bersama warga peneroka dan anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman.
Menurut Razak, ibadah korban tahun ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan, malah menjadi lambang penyatuan penduduk setempat dalam menghayati nilai pengorbanan.
“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga Felda Jengka 24 dan anak-anak perantau yang dapat pulang berhari raya bersama keluarga. Kehadiran mereka menyemarakkan lagi sambutan Aidiladha kali ini,” katanya.
Tambah beliau, sejurus selesai solat sunat Aidiladha, satu majlis tahlil perdana telah diadakan di masjid Felda Jengka 24.
Dalam majlis tersebut, pihak jawatankuasa masjid turut melancarkan kutipan derma khas bagi mengumpul dana pembinaan pejabat masjid baharu.
“Saya menyeru semua penduduk Felda agar tampil menghulurkan sumbangan demi kemudahan jemaah dan pentadbiran masjid pada masa hadapan. Sumbangan daripada orang luar juga amat dialu-alukan,” katanya lagi.
Bagi memudahkan urusan sumbangan, penduduk atau penyumbang dari luar kawasan boleh menggunakan aplikasi perbankan dengan mengimbas kod QR atau memasukkan nombor akaun Bank Islam: 06037010055188.
Usaha murni ini jelas mencerminkan komitmen masyarakat Felda Jengka 24 dalam memperkukuh institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah.
Ia juga membuktikan semangat gotong-royong dan perpaduan yang masih kukuh dalam kalangan komuniti Felda.-SAHIH