42 PLOT TANAH DBKL DIJUAL
PENJUALAN ITU DALAM MASA 8 BULAN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai mendakwa 42 plot tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah terjual dalam tempoh lapan bulan terakhir Annuar Musa memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Kok Wai turut mempersoalkan status penjualan ini dan apakah penjualan itu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan.
AHLI Parlimen Cheras, Tan Kok Wai
Dalam sidang media di lobi parlimen pagi ini, Kok Wai menuntut penjelasan Annuar berhubung perkara itu.
“Sejak Annuar memegang jawatan sebagai Menteri (Wilayah Persekutuan), banyak tanah lagi milik DBKL dijual kepada pihak swasta untuk dimajukan, dibangunkan sebagai projek perumahan, (projek) campuran komersial dan sebagainya.
“Saya ingin bertanya kepada Annuar mengapa benarkan transaksi penjualan tanah ini yang (kemungkinan) akan memberi kesan buruk untuk jangka masa panjang atau selama-lamanya kepada banyak kawasan yang telah mengalami over development (terlalu banyak pembangunan),” katanya yang dilaporkan Malaysiakini.
Tambahnya, pembangunan itu juga berisiko memberi kesan negatif terhadap persekitaran dan kawasan rekreasi.
Ketika dihubungi oleh Malaysiakini selepas itu, Kok Wai mengatakan DBKL menerbitkan tiga notis untuk mengubah Pelan Bandar KL 2020 yang ada dalam beberapa bulan terakhir.
Dia mendakwa perubahan yang terbaru melibatkan 33 plot tanah milik DBKL, sementara dua notis sebelumnya menunjukkan perubahan kepada masing-masing tiga dan enam plot.
MENTERI Wilayah Persekutuan, Annuar Musa
Pelan itu, yang merangkumi rancangan pembangunan Kuala Lumpur, akan berakhir pada 31 Disember 2020.
“Masih ada sedikit waktu yang tersisa (sebelum pelan itu tamat) tetapi DBKL masih membuat tiga pindaan yang mempengaruhi 42 plot tanah,” katanya.
Jelas Kok Wai lagi, daripada 42 plot tanah tersebut, empat melibatkan kawasannya.
Katanya, walaupun merupakan wakil rakyat di kawasan itu, dia tidak tahu apakah ada tender terbuka atau berapa harga plot yang telah dijual.
Malaysiakini telah menghubungi Annuar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah untuk mendapatkan komen.
Sidang media itu turut menampilkan ahli parlimen Pakatan Harapan lain dari Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); Fahmi Fadzil (Lembah Pantai); Tan Yee Kew (Wangsa Maju); Lim Lip Eng (Kepong); Hannah Yeoh (Segambut ) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).
Mereka secara kolektif mendesak Annuar untuk menjelaskan isu yang ditimbulkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Umum (PAC) terhadap 97 plot tanah DBKL yang terjual sejak 2011.
“Setakat hari ini, kami belum mendengar daripada menteri wilayah persekutuan, tentang respons beliau terhadap laporan PAC berkenaan dengan isu penjualan tanah milik DBKL.
“Saya rasa ini perkara yang penting kerana saya rasa menteri wilayah persekutuan perlu memberikan respons kepada parlimen,” kata Fahmi.
Dalam laporan yang diterbitkan semalam, PAC menyatakan kurangnya pematuhan prosedur operasi standard dalam cara penjualan tanah tersebut.
Ia juga menyatakan konflik kepentingan menteri wilayah persekutuan dan pembabitan Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam Yayasan Wilayah Persekutuan.
Ini kerana badan amal itu didapati membeli tanah dari DBKL, entiti yang juga dipengerusikan oleh menteri dan Datuk Bandar.
Yayasan itu berada di luar pemeriksaan Jabatan Audit Negara.
Antara saranan PAC adalah agar Yayasan Wilayah Persekutuan disusun semula agar fokus pada kebajikan, membenarkan kerajaan meneliti aktivitinya dan menyingkirkan penglibatan menteri dan Datuk Bandar.