4,009 PENJAWAT AWAM PULAU PINANG DAPAT BANTUAN KHAS
Berita Nasional
4,009 PENJAWAT AWAM DI PULAU PINANG DAPAT BANTUAN KHAS
GEORGETOWN: Seramai 4,009 penjawat awam di Pulau Pinang akan menerima bantuan khas kewangan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar pada Disember ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata bantuan khas itu diberikan sebagai menghargai jasa penjawat awam menyumbang perkhidmatan terbaik mereka terhadap pentadbiran negeri.
“Diharapkan bayaran bantuan khas kewangan ini akan meningkatkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang pada tahun akan datang
“Penjawat awam adalah tulang belakang kepada semua perancangan, pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri,” katanya selepas membentangkan Belanjawan 2021 negeri ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini.
Bantuan khas kewangan kerajaan Pulau Pinang itu akan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM5.5 juta.
Kon Yeow turut mengumumkan pemberian bantuan RM300 kepada 1,587 Penyelia serta Guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) manakala seramai 320 guru tahfiz, pondok dan tadika akan menerima RM200 yang kesemuanya membabitkan peruntukan RM898,000.
“Bayaran ini juga akan dibuat pada Disember nanti,” katanya.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh pekerja barisan hadapan yang bertungkus lumus membendung penularan wabak COVID-19.
“Kerajaan negeri ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dalam membantu memastikan kestabilan, keamanan dan ketenteraman awam.
“Mereka terdiri daripada Jabatan Kesihatan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua pasukan keselamatan antaranya polis, tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA),” katanya.
Sumber: BH Online