40 ORANG ASLI GHAIB
JOHOR BAHRU: Kira-kira 40 penduduk Orang Asli melarikan diri ke hutan sejak Isnin lalu akibat khabar angin mengatakan guru agama di Kampung mereka di Simpang Arang, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor Bahru dijangkiti COVID-19.
Mereka daripada 15 keluarga yang ada membawa bersama bayi itu bimbang dijangkiti wabak COVID-19.
Tok Batin Kampung Orang Asli Simpang Arang, Noore Kasi, berkata khabar angin itu menyebabkan mereka ketakutan dan tiba-tiba menghilangkan diri.
GAMBAR HIASAN
“Saya mendapat maklumat mereka lari bersembunyi di kawasan hutan kira-kira lapan kilometer dari Kampung Simpang Arang di kawasan muara sungai.
“Saya ada memujuk mereka pulang semula ke kampung kerana ujian saringan guru agama disahkan negatif, tetapi mereka tetap tidak mahu pulang.
”Saya memaklumkan perkara ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Kota Iskandar, Pandak Ahmad bagi memohon bantuan kerana risau keselamatan mereka termasuk daripada haiwan buas kerana hanya tinggal di bawah khemah sahaja,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Terdahulu, tinjauan di hutan berkenaan mendapati kawasan muara sungai sudah dibersihkan dengan penduduk dilihat membawa kelengkapan termasuk dapur dan tong gas untuk memasak.
Bagaimanapun, setiap keluarga hanya berlindung di khemah kanvas atau pun atap zink semata-mata yang tidak menjamin keselamatan mereka.
Mengulas lanjut, Noore berkata, terdapat kira-kira 1,000 masyarakat Orang Asli di Kampung Simpang Arang dengan majoriti penduduk tidak ikut berpindah selepas mendengar penjelasannya mengenai perkara sebenar.