4 PENDUDUK DITEMPATKAN DI PPS DEWAN JKKR JENGKA 24
4 PENDUDUK DITEMPATKAN DI PPS DEWAN JKKR JENGKA 24
JERANTUT: Empat penduduk dari satu keluarga di FELDA Jengka 24, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), awal pagi tadi.
Mereka yang berusia antara 14 hingga 68 tahun itu tinggal di Blok 11 tanah rancangan berkenaan, kini ditempatkan di Wisma Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) FELDA Jengka 24.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud ketika dihubungi berkata, kira-kira 3,000 penduduk di kawasan tanah rancangan itu kini terputus hubungan apabila laluan masuk dan keluar dari FELDA Jengka 24 tidak dapat dilalui kenderaan.
“Pihak berkuasa dengan kerjasama pasukan petugas khas banjir peringkat FELDA Wilayah Jengka, Majlis Belia FELDA serta Gabungan Peneroka Wanita (GPW) dan ahli Kami Anak FELDA sempat membawa keluar lima wanita yang sarat mengandung menggunakan kenderaan pacuan empat roda malam tadi, ” katanya.
Razak berkata, bantuan awal kepada penduduk ditempatkan di PPS sudah disalurkan dan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, APMM sedang memantau situasi semasa.
Katanya, penduduk di kawasan rendah juga diingatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan sedia untuk berpindah ke PPS jika paras air terus meningkat.