4 PEKERJA PASAR RAYA KENA KOMPAUN
4 PEKERJA PASAR RAYA KENA KOMPAUN
KUANTAN: Sebanyak 98 kompaun dikeluarkan, termasuk kepada empat pekerja pasar raya hasil operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuantan sejak 24 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, empat pekerja di dua pasar raya di sini dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang kerana melanggar SOP, hari ini.
“Hasil pemeriksaan dan pemantauan dijalankan mendapati kakitangan di dua pasar raya terbabit tidak mematuhi SOP kerana gagal menjaga penjarakan fizikal ketika menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di sekitar bandaraya ini.
Gambar Hiasan
Mohamad Noor berkata, pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang melanggar SOP dan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa, berikutan tahap pematuhan SOP dalam kalangan penduduk di daerah ini masih kurang memuaskan.
“Dalam operasi pemantauan yang dijalankan hari ini sebagai contoh, kita dapati masih ada lagi orang awam yang bersikap acuh tidak acuh terhadap peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.-SAHIH