4 PEGAWAI KANAN FELDA WILAYAH JENGKA NAIK PANGKAT
4 PEGAWAI KANAN FELDA WILAYAH JENGKA NAIK PANGKAT
JERANTUT: Empat pegawai kanan FELDA Wilayah Jengka dinaikkan pangkat berkuatkuasa bulan ini.
Walaupun ia adalah berita gembira, namun kenaikan pangkat itu juga menyaksikan mereka ditukarkan dan bertugas di tempat baru.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan menyifatkan proses pertukaran kakitangan FELDA adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Ini adalah berita gembira tapi sedih untuk semua warga peneroka FELDA Wilayah Jengka kerana hubungan rapat dibina antara kami dan keempat mereka sejak sekian lama.
PENGERUSI JAWATANKUASA BIRO SOSIAL FELDA WILAYAH JENGKA, RAZAK DAUD
“Walaupun sedih, kami terima berita ini dengan penuh keredhaan dan semoga mereka semua dapat meneruskan khidmat cemerlang di tempat baru kelak,” katanya.
Mereka yang dipindahkan dan dinaikkan pangkat ialah Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Afzal Hanis Abd Kadir; Penolong Pengurus Besar, Azlan Zunaidak; Ketua Unit Komuniti, Sessasom Abdullah dan Akauntan FELDA Wilayah Jengka, Noorain Abd Manap.
GAMBAR IHSAN FACEBOOK FELDA WILAYAH JENGKA
Razak berkata, pihaknya agak terkilan kerana tidak dapat mengadakan jamuan perpisahan untuk empat individu yang sangat berjasa kepada warga peneroka FELDA Wilayah Jengka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disambung hingga 18 Februari ini.
Katanya, seluruh warga peneroka merakamkan setinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada mereka semua dan berharap hubungan baik terjalin selama ini dapat dikekalkan.