4 MATI DIREKODKAN AKIBAT COVID-19
4 MATI DIREKODKAN AKIBAT COVID-19
KOTA BHARU: Empat kematian direkodkan di Kelantan hari ini akibat COVID-19, selain dua kluster baharu.
Semua mangsa yang berusia 56 hingga 82 tahun masing-masing dua lelaki dan dua perempuan yang dirawat di tiga hospital, iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II); Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Sultan Ismail Petra.
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menerusi Facebook memaklumkan, semua mangsa mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.
“Empat kematian itu antara 15 kematian yang dilaporkan di Malaysia hari ini. Takziah kepada ahli keluarga mereka.
“Sebanyak 401 kes baharu COVID-19 di Kelantan hari ini,” katanya.
Pada masa sama, dua kluster terbaharu direkodkan hari ini, iaitu Kluster Batu Lada dan Kluster Kampung Pemanok.
Katanya, Kluster Batu Lada kluster institusi pendidikan membabitkan daerah Kuala Krai dan Machang, hasil saringan individu bergejala.
“Kluster ini membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah sekolah yang terletak di Jalan Batu Lada, Kuala Krai.
“Sehingga hari ini, sejumlah 191 individu disaring, di mana 21 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.
Kluster Kampung Pemanok pula komuniti membabitkan daerah Machang, hasil saringan individu bergejala, lapor BH ONLINE
Sehingga hari ini, seramai 53 individu disaring, 27 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster itu.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Kesihatan Kelantan membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian.
Ia menjadikan PKRC keenam di negeri itu dengan kapasiti maksima 250 katil bertingkat yang mampu menempatkan 500 pesakit pada satu masa.
PKRC Kampus Kesihatan USM dijangka akan beroperasi di dalam masa terdekat.