4 LELAKI LANGGAR SOP, CUBA CEDERAKAN POLIS KETIKA BERTUGAS
4 LELAKI LANGGAR SOP, CUBA CEDERAKAN POLIS KETIKA BERTUGAS
BENTONG: Dua suspek bertindak agresif dan mengeluarkan kata kesat serta seorang cuba mencederakan seorang pegawai kanan polis wanita di lokasi kejadian dalam satu pemeriksaan oleh pihak polis di Taman Desa Damai, dekat sini, kira-kira jam 5.30 petang, semalam.
Pasukan Polis Bentong menahan empat lelaki tempatan itu kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta enggan memberi kerjasama dengan tidak mahu mengemukakan dokumen pengenalan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pasukan pegawai dan anggota unit kereta peronda, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Bentong telah pergi ke tempat kejadian setelah mendapat maklumat daripada orang awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki berusia antara 20 hingga 28 tahun sedang berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan sosial dan sedang minum dipercayai minuman beralkohol.
“Mereka juga datang dari kawasan perumahan yang berlainan yang sedang dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya kepada media.
Katanya, ketika diperiksa, dua daripada mereka bertindak agresif dan mengeluarkan kata kesat dan enggan memberi kerjasama dan tidak mahu mengemukakan dokumen pengenalan kepada pihak polis.
“Salah seorang suspek turut cuba mencederakan seorang pegawai kanan polis wanita di lokasi kejadian tetapi berjaya dihalang.
“Ekoran kejadian itu, semua mereka ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dikompaun di bawah Peraturan 17 (1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit (PPPDPPB) (No.2 ) 2021,” katanya.
Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
Zaiham berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang masih gagal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tanpa berkompromi. Beliau turut berterima kasih atas kerjasama orang awam menyalurkan maklumat untuk memutuskan rantaian wabak ini. –SAHIH.