4 KLUSTER BAHARU DIKESAN
PUTRAJAYA: Empat kluster baharu COVID-19 dilaporkan, hari ini, membabitkan Sabah, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Jalan Tuaran dikesan di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran, Sabah, hasil saringan di tempat kerja.
Setakat ini, beliau berkata, seramai 43 individu disahkan positif dalam kluster berkenaan.
“Kluster Jalan Haruan pula membabitkan Seremban, Negeri Sembilan, dengan kes awal dilaporkan hasil saringan pekerja di sebuah kilang.
“Setakat ini, kluster itu sudah menjangkiti 118 individu meliputi 108 warga asing dan 10 rakyat tempatan.
“Seterusnya, Kluster Tapak Bina Puteh Lama dikesan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hasil saringan bersasar terhadap pekerja di sebuah tapak pembinaan.
“Seramai 820 individu sudah disaring, setakat ini, dengan 139 kes positif dikesan dalam kluster itu,” katanya pada sidang media COVID-19 dilaporkan BH Online.
Dr Noor Hisham berkata, Kluster Beringin membabitkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.
“Kes dalam kluster itu adalah pekerja di dua kilang di Pulau Pinang. Kes indeks dilaporkan positif pada 19 November lalu melalui saringan individu bergejala.
“Setakat ini, sejumlah 3,116 individu telah disaring dengan 37 dikesan positif dalam kluster itu,” katanya.