4 DITAHAN CURI VAKSIN
4 DITAHAN CURI VAKSIN
MEDAN: Empat orang ditahan di Indonesia kerana didakwa mencuri vaksin COVID-19, yang disediakan untuk banduan dan kemudian menjualnya kepada umum, demikian menurut pihak berkuasa hari ini.
Suspek terbabit mengambil lebih 1,000 dos vaksin keluaran Sinovac China daripada kuota yang diperuntukkan bagi banduan.
Mereka kemudian menawarkan vaksin itu kepada pembeli di Jakarta dan di bandar Medan, Sumatera Utara pada harga sekitar 250,000 rupiah (RM71.88) setiap satu.
Menurut polis, empat yang diberkas itu termasuk seorang doktor di penjara di Medan dan seorang pegawai kesihatan tempatan.
Mereka boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan di bawah undang-undang antirasuah Indonesia.
“Salah seorang suspek membawa vaksin itu ke Jakarta di mana kami juga mengesan sebahagian lokasi yang menawarkan khidmat itu,” kata jurucakap polis Sumatera Utara, Hadi Wahyudi memberitahu AFP, hari ini.
Indonesia terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan sedang menjalankan kempen vaksinasi besar-besaran untuk hampir 270 juta penduduknya.
Rakyat Indonesia diberi vaksin COVID-19 secara percuma.
Namun, berpuluh-puluh ribu penduduk masih lagi menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin, dengan bekalan terhad diutamakan untuk petugas kesihatan barisan hadapan serta kumpulan lain yang berisiko tinggi – termasuk penjara yang penuh sesak.
Sistem penjara negara itu terkenal dengan keadaannya yang teruk dan kumpulan hak asasi manusia sudah memberi amaran mengenai risiko berlaku penularan COVID-19 dalam penjara di merata negara itu.
Penangkapan itu dibuat susulan satu skandal berasingan di Sumatera Utara bulan ini, di mana polis menyatakan ia mendapat tahu petugas kesihatan di lapangan terbang Medan mengitar semula lidi kapas yang digunakan dalam ujian COVID-19 dengan mencucinya dan kemudian membungkusnya semula.
Perbuatan itu mungkin sudah menjejaskan ribuan penumpang yang diuji di lapangan terbang terbabit, menurut polis.
Indonesia mencatatkan lebih 1.7 juta kes COVID-19, dengan hampir 50,000 kematian setakat ini.