4 DIKOMPAUN INGKAR PKP
4 DIKOMPAUN INGKAR PKP
BENTONG: Tindakan empat individu duduk semeja di kedai makan dekat sini, tanpa pelitup muka, mengundang padah apabila dikenakan kompaun petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, tindakan empat individu terbabit yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) dikesan hasil maklumat orang awam.
GAMBAR IHSAN IPD BENTONG
“Bertindak atas maklumat disalurkan orang awam, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melakukan pemeriksaan di kedai berkenaan jam 4.45 petang semalam dan mendapati terdapat empat lelaki berusia antara 38 hingga 59 tahun dalam premis itu.
“Semua lelaki berkenaan didapati mengelilingi satu meja, tidak memakai pelitup muka serta mengabaikan penjarakan fizikal dan perbuatan ini adalah melanggar SOP ditetapkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula kira-kira dua minggu lalu,” katanya melalui satu kenyataan media di sini, hari ini.
GAMBAR IHSAN IPD BENTONG
Zaiham berkata, individu itu dikompaun mengikut Perkara 16(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Zaiham berkata pihak IPD Bentong sudah mengeluarkan 22 kompaun kepada individu ingkar SOP sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada 22 Januari lalu.